BERAPA ramai di antara kita masih
mengingati tragedi ummah yang berlaku pada tahun 1992? Iaitu pada tarikh
6 Disember tahun itu, Masjid Babri di Ayodhya, India tidak dapat
dipertahankan dan diselamatkan apabila institusi suci umat Islam itu
dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.
Seramai 150,000 pejuang nasionalis Hindu
yang tidak dapat dihalang memusnahkan masjid itu dalam konflik
berpanjangan perebutan antara Hindu dan Muslim di India.
Salah seorang pelampau Hindu atau lebih
tepat, dalang untuk meruntuh dan memusnahkan Masjid itu merupakan
seorang pemuda yang bernama Shive Prasad berasal dari Faisabad, iaitu
daerah di mana terletaknya masjid itu.
Prasad ialah ketua sebuah parti politik
Bajrang Dal yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab ‘suci’ untuk
mengetuai hampir 4,000 penduduk kampungnya, Kar Sevak bagi memastikan
masjid itu akhirnya runtuh.
Tindakan melampau untuk meruntuhkan
masjid purba itu telah dirancang dengan baik oleh Prasad. Beliau memberi
arahan dan latihan yang secukupnya kepada para pengikutnya seramai
4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu berjaya.

Sedangkan masjid itu merupakan salah
sebuah masjid terbesar di negeri Uttar Preadesh, utara India dengan
bilangan umat Islamnya seramai 31 juta orang.
Pada hari kejadian itu, Prasad tidak
sahaja menceroboh masuk malah berjaya memanjat kubah besar masjid dan
bersama pengikut-pengikut yang lain mereka berjaya menawan masjid itu.
Kemudian bersorak gembira apabila mereka akhirnya berjaya meruntuhkan
kubah dan keseluruhan masjid tersebut.
Mereka melaung-laungkan perkataan “Ram!
Ram!” sebagai tanda kemenangan kononnya masjid itu akhirnya berjaya
jatuh ke tangan pelampau Hindu.
Prasad puas hati kerana berjaya
mengembalikan hak penganut Hindu yang kononnya masjid Babri itu dibina
atas tapak kuil, yang dibina bagi memperingati tempat kelahiran tuhan
mereka yang bernama Rama.

Kuasa Allah
Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.
Berita pengislaman pemuda itu disiarkan
oleh Malayalam News keesokan harinya iaitu pada 7 Disember 1999 yang
kemudiannya dipetik oleh Arab News Publications di Arab Saudi.
Berita itu amat mengejutkan apabila
melihat sendiri latar belakang Prasad, terutama bapanya, Trigal
Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana seluruh puak itu
terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.

Mungkin dengan keluar dari India, Prasad
mengharap beliau tidak lagi diburu oleh perasaan bersalah itu. Lalu
beliau mencari pekerjaan di Sharjah salah sebuah negara anggota Emiriah
Arab Bersatu (UAE).
Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.
Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998,
pada hari itu beliau berjalan seorang diri di sebatang jalan di bandar
Sharjah. Secara tiba-tiba beliau terdengar suara khatib dari sebuah
masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam bahasa
Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu dengan jelas.
Prasad berhenti untuk mendengar khutbah
itu dan alangkah terkejutnya pemuda ini apabila sang khatib menyebutkan
bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, mampu mengubahkan
hati-hati yang tidak mempercayai kewujudan-Nya selama ini.
Sejurus mendengar khutbah itu sehingga
akhir, semacam satu perasaan yang tenang menyelinap masuk ke hatinya.
Malah seolah-olah telah tercabut satu beban besar yang selama ini
menyebabkan fikirannya menjadi begitu serabut.
Segala puji-pujian terhadap Allah yang
akhirnya telah memberi hidayah dan membukakan hatinya walaupun dirinya
telah melakukan kesalahan yang lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi
dapat dimaafkan.
Namun berita Prasad memeluk Islam itu
tidak sahaja menimbulkan kemarahan keluarga. Malah akibat tidak dapat
menanggung malu, Prasad akhirnya dibuang oleh keluarganya sendiri.
Beliau tidak dibenarkan pulang semula ke India, kalaupun dia pulang juga
maka nyawanya akan terancam.
Berita pengislaman Prasad itu juga
menyebabkan parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan Hindu yang
menyokong tindakan beliau beliau meruntuhkan Masjid Babri turut marah
dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa dan tempat.

Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.
“Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus sudah.
“Tetapi sekurang-kurangnya itulah
sumbangan saya terhadap Islam di samping perbuatan saya itu juga telah
melukakan hati jutaan umat Islam dan saya mahukan mereka juga memaafkan
saya dengan sekurang-kurangnya saya membina semula apa yang telah saya
runtuhkan,” ujarnya sayu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar