Ghazwah Mu’tah berlaku pada Jamadil
Awal, tahun ke-8 hijrah. Mu’tah merupakan sebuah kampung di pinggir
Syam. Sekarang ia dinamakan dengan al-Karak. Letaknya di tenggara Laut
Mati.
Sebab peperangan ini; Rasul s.a.w. telah
mengutus al-Harith bin Umair al-Azdi.Beliau membawa sepucuk surat
kepada al-Harith bin Abi Syamir al-Ghassani, Raja Basrah yang menjadi
wakil Herkules. Dalam surat itu, Baginda s.a.w. mengajaknya kepada Islam
(ia merupakan antara surat yang diutuskan oleh Baginda s.a.w. kepada
maharaja-maharaja dunia dan raja-raja Arab. Perutusan ini dilakukan
selepas perdamaian Hudaibiyyah). Apabila utusan Baginda tiba di Mu’tah,
salah seorang raja Arab Ghassan yang tunduk kepada Caesar Rom bertanya
kepadanya: “Kamu mahu pergi ke mana? Boleh jadi kamu salah seorang
utusan Muhammad?” Lantas utusan Baginda s.a.w. menjawab: “Ya.” Lalu raja
tersebut mengikat dan memenggal lehernya.
Berita pembunuhan tersebut sampai kepada
Rasulullah s.a.w.. Baginda merasa amat sedih kerana tiada utusan
Baginda yang dibunuh selain daripada beliau. Baginda mempersiapkan satu
angkatan tentera Islam seramai 3,000 orang. Baginda melantik Zaid bin
Harithah sebagai panglima mereka. Baginda berpesan, sekiranya Zaid mati
syahid, mereka hendaklah melantik Jaafar bin Abi Tolib (sebagai
penggantinya). Sekiranya Jaafar pula mati syahid, mereka hendaklah
melantik Abdullah bin Rawwahah (sebagai pengganti seterusnya).Baginda
mengarahkan Zaid mara ke tempat pembunuhan al-Harith bin Umair (di
Mu’tah) dan menyeru penduduk di sana kepada Islam. Sekiranya mereka
menolak seruan tersebut,tentera Islam hendaklah memohon pertolongan
Allah dan memerangi mereka. Baginda berpesan kepada mereka dengan
sabdanya:
“Aku berpesan kepada kamu supaya
bertaqwa kepada Allah dan berbuat baik kepada orang Islam yang bersama
kamu. Perangilah sesiapa yang kufur kepada Allah dengan nama dan demi
jalan Allah. Jangan kamu belot (jika diadakan perjanjian) atau mencuri
rampasan perang (sebelum diagihagihkan).Jangan kamu membunuh
kanak-kanak, wanita, orang tua yang tak berdaya dan pendita yang
memencilkan diri digereja. Jangan kamu memusnahkan pokok kurma, memotong
pokok atau meruntuhkan binaan.”
Kemudian angkatan tentera Islam
berangkat dengan mengharapkan keberkatan Allah.Rasul s.a.w. sendiri
telah menghantar mereka berlepas (dari Madinah). Mereka terus berjalan
sehingga sampai ke Ma’an( Sebahagian ulama memanggilnya Mu’an).Di sana,
mereka mendapat berita bahawa Herkules telah menghimpunkan satu angkatan
tentera yang besar. Angkatan tersebut telah berpengkalan di Maab, salah
sebuah kampung al-Balqak (kawasan perkampungan yang dibangunkan oleh
Damsyik. Kotanya dikenali dengan Amman). Mereka terdiri daripada bangsa
Rom dan Arab yang menganut agama Nasrani. Bkoran itu, orang Islam telah
bermesyuarat sesama mereka.Mereka berpandangan untuk meminta bantuan
daripada Rasulullah s.a.w. atau Baginda memberi arahan lain untuk mereka
lakukan. Namun Abdullah bin Rawwahah membangkang seraya berkata: “Demi
Allah, peperangan yang kamu benci ini merupakan tujuan sebenar kamu
keluar. Kamu mengejar mati syahid. Kita tidak memerangi manusia
berdasarkan bilangan, kuantiti yang ramai mahupun kekuatan. Kita
memerangi mereka hanya berbekalkan agama yang Allah muliakan kita
dengannya. Sesungguhnya kesudahan perang ini hanya salah satu daripada
dua kebaikan: sama ada kemenangan ataupun mati syahid.”
Oleh itu, orang ramai bersetuju dengan beliau untuk memasuki kancah pertempuran.
Seterusnya, peperangan bermula. Zaid
telah berperang sehingga syahid. Kemudian Jaafar bin Abi Tolib menerima
panji-panji angkatan tentera Islam menggantikan beliau.Jaafar pada
mulanya berperang di atas kudanya kemudian terpaksa turun dan berperang
dengan berjalan kaki. Tangan kanannya telah terpotong, lantas dia
memegang panji-panji Islam dengan tangan kirinya. Kemudiannya tangan
kirinya pula terpotong. Lalu dia memeluk panji-panji itu sehingga
akhirnya beliau r.a. turut syahid.Pada mayat beliau, terdapat lebih
daripada 70 kesan luka antara tetakan pedang ataupun tikaman lembing.
Kemudian Abdullah bin Rawwahah mengambil panji-panji tersebut dan
berperang sehingga dia turut syahid.
Setelah itu orang Islam bersepakat
melantik Khalid bin al-Walid sebagai panglima tentera(ini adalah
peperangan pertama yang beliau sertai setelah memeluk Islam). Beliau
menggunakan kelicikan perangnya sehingga berjaya menyelamatkan angkatan
tentera Islam daripada binasa. Dia pulang bersama-sama angkatan tentera
Islam itu ke Madinah.
Pertempuran ini merupakan pertempuran
pertama yang dilalui oleh orang Islam diluar semenanjung-tanah Arab
untuk melawan Rom.Rasulullah s.a.w. telah menggelarkan Khalid bin
al-Walid dalam peperangan ini dengan gelaran “Saifullah” (Pedang Allah).
Tambahan:
Perang Mu’tah (bahasa Arab: معركة مؤتة ,
غزوة مؤتة) berlaku pada sekitar tahun 629M ketika di akhir kehidupan
Nabi Muhammad S.A.W. Ketika ini baginda menghantar tentera seramai 3,000
orang untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 200,000 orang
tentera.
Tujuan baginda menghantar tentera Islam
kerana sebagai tindak balas atas pembunuhan seorang utusan baginda ke
wilayah kerajaan Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan Islam ke
wilayah jajahan Rom.
Ketika ini, baginda melantik tiga orang
panglima Islam dengan Zaid ibn Harithah dilantik sebagai ketua panglima,
Ja’afar ibn Abi Thalib sebagai ketua panglima sekiranya Zaid terkorban
dan Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja’afar sekiranya Ja’afar
terkorban.
Pertempuran berlaku di Karak di mana
pada hari ini terletak di dalam negara Jordan. Di dalam peperangan ini,
ketiga-tiga ketua panglima yang dilantik oleh Nabi terkorban. Apabila
kesemua panglima terkorban, Thabit ibn Arqam mengendalikan tentera Islam
buat seketika, namun beliau tidak berkehendak untuk memimpin tentera
Islam ketika itu.
Setelah beberapa ketika, Thabit
mencadangkan Khalid bin al-Walid dilantik sebagai ketua panglima tentera
Islam. Perlantikan ini dipersetujui oleh kesemua tentera Islam. Selepas
perlantikannya, Khalid bertindak dengan menyelamatkan tentera Islam
daripada diasak hebat oleh tentera Rom.
Dengan strategi pertukaran yang dibuat
dan susunan tentera secara memanjang ke belakang beserta taktik untuk
melakukan keriuhan di barisan belakang, taktik ini berjaya mengelirukan
barisan hadapan tentera Byzantine. Hasilnya. Khalid berjaya mengundurkan
tentera Islam sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh.
Selepas ini, Khalid bertindak cemerlang
dalam memimpin tentera Islam dalam usaha untuk menyebarkan Islam di
Parsi dan di dalam Peperangan Islam-Rom Byzantine.
Sekian Wallahu’alam….
Tidak ada komentar:
Posting Komentar