Ghazwah Uhud berlaku pada hari Sabtu,15
Syawal, tahun ke-3 hijrah. Sebab berlaku ghazwah ini Quraisy ingin
menuntut bela terhadap kekalahan dalam Ghazwah Badar. Mereka membuat
persiapan sehingga mereka benar-benar bersedia untuk memerangi Rasul
s.a.w. di Madinah. Mereka keluar dalam angkatan tentera seramai 3,000
pejuang, tidak termasuk bilangan tentera Ahabisy.(Kaum yang dihubungkan
kepada sebuah bukit di sebelah bawah Makkah yang dipanggil “Habisy”.
Mereka merupakan sekutu Quraisy)
Dalam angkatan ini terdapat 700 tentera
berbaju perisai dan 200 pahlawan berkuda. Bersama mereka juga, 17 orang
wanita termasuk Hindun binti ‘Utbah, isteri Abu Suffian. Bapanya telah
terbunuh dalam Ghazwah Badar.Quraisy bergerak sehingga sampai ke
tengah-tengah wadi menghala ke Uhud (sebuah bukit tinggi yang terletak
dua batu di utara Madinah) bertentangan dengan Madinah. Mengikut
pendapat Rasul s.a.w. dan beberapa orang sahabat, orang Islam tidak
perlu keluar menghadapi mereka. Bahkan orang Islam hendaklah bertahan di
dalam kota Madinah.Sekiranya orang musyrik menyerang mereka, orang
Islam akan menghalang mereka. Namun sebahagian pemuda-pemuda Islam serta
sesetengah Muhajirin dan Ansor bersemangat untuk keluar dari Madinah
dan meiawan orang musyrik di tempat perhimpunan mereka. Khususnya mereka
yang tidak turut serta dalam Ghazwah Badar dan tidak memperolehi
kemuliaan berperang dalam ghazwah tersebut.
Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. telah
beralah kepada pendapat mereka. Baginda masuk ke dalam rumah, memakai
baju perisai, seraya meletakkan dinding perisai di belakang tubuhnya dan
memegang tombak di tangan. Kemudian Baginda keluar menemui orang Islam
dengan menggantung pedangnya di leher. Mereka yang mencadangkan kepada
Baginda untuk keluar berperang di luar Madinah telah menyesal, kerana
mereka menjadi sebab memaksa Baginda melakukan tindakan yang
bertentangan dengan pendapat peribadi Baginda. Mereka berkata kepada
Rasul s.a.w.: “Kami tidak seharusnya menyalahi pendapat kamu. Oleh itu,
buatlah apa yang kamu mahu, atau kamu duduk di sini sekiranya kamu
mahu.”
Maka Rasul s.a.w. menjawab kepada mereka dengan sabda Baginda:
“Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila
dia memakai baju perisainya untuk dia menanggalkannya semula,
sehinggalah Allah memberikan hukuman antaranya dan musuhnya.”
Kemudian Baginda bersama kira-kira 1,000
orang Islam telah berangkat keluar Madinah termasuk 100 tentera berbaju
perisai dan 2 pahlawan berkuda.
Ketika orang Islam berhimpun untuk
keluar, Rasul s.a.w. melihat satu kumpulan Yahudi mahu turut keluar
bersama Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua orang munafik. Rasul s.a.w.
bertanya: “Adakah mereka telah Islam?” Mereka berkata: “Tidak wahai
Rasulullah.” Baginda bersabda:
“Suruh mereka pulang.Kita tidak meminta pertolongan orang musyrik untuk memerangi orang musyrik.”
Di pertengahan jalan, Abdullah bin Ubai
bin Salul bersama 300 orang munafik menarik diri daripada turut serta
membantu orang Islam berperang. Oleh itu, bilangan orang Islam hanya
tinggal 700 orang. Kemudian Rasul s.a.w. meneruskan perjalanan sehingga
sampai ke medan Uhud. Baginda menjadikan tenteranya membelakangi bukit
Uhud dan menghadap tentera musyrik. Baginda telah membariskan tentera
Islam, melantik seorang ketua bagi setiap pasukan. Baginda juga memilih
50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair al-Ansori, untuk
melindungi bahagian belakang orang Islam daripada serangan balas
tentera musyrik dari arah belakang. Baginda berpesan kepada mereka:
“Lindungi belakang kami supaya mereka
tidak datang menyerang kita dari arah belakang. Hujani mereka dengan
anak-anak panah. Kuda tidak dapat melawan panah. Kita akan terus menang
selagimana kamu tetap tidak berganjak daripada tempat kamu. Ya Allah,
aku bersaksikan Engkau dalam menghadapi mereka “.
Dalam riwayat lain, Baginda berpesan kepada mereka:
“Jika kamu melihat kami dilanggar garuda
(kiasan kepada kebinasaan yang cukup teruk), jangan kamu tinggalkan
tempat kamu ini sehingga aku kirim utusan kepada kamu. Sekiranya kamu
melihat kami mengalah-kan kaum (musyrik) itu atau kami menewaskan mereka
dan mereka terbunuh, jangan kamu tinggalkan tempat kamu sehingga aku
hantar utusan kepada kamu.”
Kemudian, bermulalah peperangan. Allah
telah membantu orang Islam menentang musuh-musuh mereka. Orang Islam
telah membunuh sebilangan mereka. Pihak musuh kemudiannya melarikan
diri. Oleh itu, orang Islam sibuk memungut harta rampasan perang yang
mereka dapati di kem orang musyrik. Para pemanah di belakang mereka
melihat perkara tersebut. Mereka berkata: “Apa yang kita akan buat
sedangkan Allah telah memenangkan Rasul-Nya?” Mereka terfikir untuk
meninggalkan posisi masing-masing untuk memperolehi habuan rampasan
perang. Lantas, ketua mereka, Abdullah bin Jubair memperingatkan mereka
tentang pesanan Rasul s.a.w.. Namun, mereka menjawab bahawa peperangan
telah tamat dan tidak perlu lagi untuk kekal di tempat mereka, Hanya
Abdullah berserta 10 orang lain enggan meninggalkan posisi
masing-masing. Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan
orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi
mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang
hendap dari arah belakang.
Angkatan tentera Islam tidak menyedari
serang hendap melainkan setelah pedang-pedang menyerang mereka di sana
sini. Ikatan barisan mereka menjadi kacau bilau. Ketika itu juga,
tersebar khabar angin bahawa Rasul s.a.w. telah terbunuh. Sebahagian
mereka telah lari pulang ke Madinah. Orang musyrik dapat sampai kepada
Rasul s.a.w.. Batu-batu yang mereka lontar mengenai Baginda sehingga
Baginda jatuh pengsan, mukanya luka, kedua lututnya bercalar, bibir
bawahnya berdarah dan topi di kepalanya pecah. Dua cincin rantai topi
itu telah terbenam masuk ke pelipis Baginda. Orang musyrik bertambah
ramai menyerang Rasul s.a.w. untuk membunuh Baginda. Baginda s.a.w.
tetap bertahan bersamasama sekumpulan orang mukmin, antara mereka ialah:
Abu Dujanah yang bertindak menjadi perisai Rasulullah s.a.w.. Dia
melindungi Baginda daripada anak-anak panah orang musyrik.Anak-anak
panah itu telah menembusi belakang tubuhnya. Antara mereka lagi, Saad
bin Abi Waqqas. Beliau telah memanah pada hari tersebut kira-kira 1,000
anak panah. Antaranya lagi, Nasibah Ummu ‘Umarah al-Ansoriyyah. Dia
meninggalkan tugas memberi minum tentera yang cedera, untuk bertempur
menggunakan pedang dan memanah demi mempertahankan Rasulullah. Dia terus
bertempur sehinggalah sebatang anak panah hinggap mengenai tengkuknya,
menyebabkan luka yang dalam. Bersama-sama Nasibah juga, suami dan dua
orang anaknya yang turut serta mempertahankan Rasulullah. Rasulullah
s.a.w. mendoakan untuk mereka:
“Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.”
Lantas Nasibah berkata:
“Doakan kepada Allah supaya kami menemanimu di syurga.”
Lantas Baginda berdoa:
“Ya Allah, jadikan mereka teman-temanku di syurga.”
Nasibah r.ha. berkata selepas itu: “Aku tidak mempedulikan lagi bencana yang menimpaku dalam urusan dunia.”
Baginda s.a.w. telah berkata berkenaan Nasibah:
“Aku tidak menoleh ke kanan dan ke kiri pada hari Ghazwah Uhud,melainkan aku melihatnya berperang di hadapanku”.
Pada hari tersebut, Nasibah mendapat 12 luka, sama ada akibat tikaman tombak mahupun tetakan pedang.
Pada saat-saat genting itu, Ubai bin
Khalaf telah cuba untuk sampai kepada Rasul s.a.w. bertujuan membunuh
Baginda. Dia bersumpah tidak akan berpatah balik. Maka Nabi s.a.w.
mengambil sebatang tombak daripada sahabat yang bersama Baginda, lalu
merejamnya ke leher Ubai. Rejaman tersebut menyebab kematiannya. Ubai
bin Khalaf juga merupakan satu-satunya orang yang dibunuh oleh Nabi
s.a.w. dalam semua ghazwah Baginda.
Kemudian Baginda s.a.w. dapat berdiri
dan bangun dipangku oleh Tolhah bin Ubaidillah. Baginda memandang ke
arah orang musyrik dan ternampak sekumpulan daripada mereka berada di
atas bukit. Lantas Baginda menghantar sahabat menghalau mereka turun
seraya berkata:
“Tidak sepatutnya mereka berada lebih tinggi daripada kita. Ya Allah, tiada kekuatan bagi kami metainkan dengan Kamu”.
Pertempuran telah berakhir. Abu Suffian
menyatakan kelegaan hatinya dan hati orang musyrik yang lain, setelah
berjaya menebus kekalahan mereka dalam Ghazwah Badar dengan
kata-katanya:
“Hari ini merupakan bayaran bagi hari Badar.”
Di antara mereka yang terbunuh dalam
peperangan ini ialah Hamzah, bapa saudara Rasul s.a.w.. Hindun, isteri
Abu Suffian telah mengkelar-kelar mayatnya, membelah jantungnya dan
mengunyahnya. Dia merasa kepahitan jantung itu, lalu
memuntahkannya.Rasul s.a.w. merasa amat sedih melihat keadaan Hamzah,
lantas berkata:
“Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas Quraisy di sesuatu tempat, aku akan kelar 30 orang lelaki daripada mereka.”
Namun selepas itu Allah melarang daripada mengelar mayat.
Bilangan orang Islam yang terbunuh dalam
pertempuran ini ialah kira-kira 70 orang,sementara jumlah orang musyrik
yang terbunuh ialah 23 orang.
Allah Taala telah menurunkan beberapa
ayat berkenaan ghazwah ini bagi merawat kelukaan hati orang-orang mukmin
dan menyedarkan mereka tentang punca-punca kekalahan yang menimpa
mereka. Allah berfirman dalam surah Ali Imran,yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam
perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu
berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah
orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan)
jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
Jika kamu (dalam peperangan Uhud)
mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang
mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat lukayang sama
(dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia
ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan
dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata
apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan
yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara
kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka
kepada orang-orang yang zalim.
Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan
masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya)
orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di
antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar
(tabah dan cekal had dalam perjuangan)? ”.
(Maksud Ali Imran: 139-142)
Selang beberapa ayat selepas itu, Allah berfirman lagi,yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, Allah telah
menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu
(berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke
masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu
berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka
(melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu
akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di
antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di
antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan
kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu;
dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah
kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya
kepada orang-orang yang beriman.
(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan
tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih
berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di
belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh
sebab itu Allah mem-balas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan
(kekalahan),dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan
(Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah
luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang
kamu lakukan”.
(Maksud Ali Imran: 152-153)
Sekian Wallahu’alam…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar